Friday, October 15, 2010

Laparaskopik rawat pedih hulu hati

RAMAI yang bertanya, apakah perlunya masalah pedih hulu hati dirawat meskipun ia tidak mengancam nyawa?

Jawapannya ialah penyakit ini boleh menjejaskan kualiti hidup penghidapnya.

Selain komplikasi, gejalanya sudah memadai menyebabkan penghidapnya berasa tidak selesa.

Pakar Perunding Bedah Gastroenterologi dan Laparaskopik, Pusat Perubatan Pantai, Dr. Fahmi A. Karim berkata pada peringkat awal, dalam menangani masalah ini doktor akan menasihatkan pesakit supaya mengubah cara hidup yang lebih sihat.

Ini termasuklah mengubah jenis makanan yang dimakan seperti mengurangkan makanan pedas atau berminyak.

``Bagi yang obes, pesakit dinasihatkan supaya menurunkan berat badan, kurang merokok, mengurangkan meminum minuman keras, mengurangkan makan sebelum tidur, melakukan senaman lebih kerap dan sebagainya,'' katanya.

Pedih hulu hati atau juga dikenali sebagai gastroesophageal reflux disease (GERD) merupakan satu keadaan di mana asid dalam perut naik ke saluran pemakanan (esofagus).

Ia merupakan penyakit yang sering ditemui. Di Britain, dianggarkan 30 peratus penduduknya menghadapi masalah ini.

Meskipun GERD tidak sepopular seperti penyakit kanser, jantung, diabetes dan sebagainya namun prevalens penyakit ini menunjukkan peningkatan.

Jika dibandingkan dalam tempoh 10 tahun yang lalu, pada hari ini GERD mencatatkan peningkatan sehingga 10 peratus.

``Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, kes-kes GERD dianggarkan sekitar 2 hingga 3 peratus sahaja,'' ujarnya.

Sekiranya gejala penyakit ini masih ada setelah pesakit melakukan perubahan gaya hidup, mereka memerlukan rawatan ubat-ubatan.

Ubat-ubatan ini bagi membantu meneutralkan asid perut dan jumlah asid yang dihasilkan.

``Ada ketikanya, asid yang naik ke perut ini mengandungi bahan-bahan dari pundi hempedu.

``Peranan ubat-ubatan ini bertujuan mengekang masalah ini daripada berterusan,'' katanya.

Meskipun, ubat-ubatan ini dapat membantu, masih ada pesakit yang enggan bergantung kepada ubat-ubatan secara berterusan.

``Rawatan ubat-ubatan ini selain mengambil masa yang agak lama, kosnya juga agak tinggi,'' jelasnya.

Seandainya, kedua-dua pendekatan ini masih tidak membuahkan sebarang hasil mereka mempunyai alternatif lain iaitu menjalani pembedahan.

Pembedahan yang dikenali sebagai laparascopic anti-reflux surgery ini tidak memerlukan torehan luka yang besar pada kulit.

Ia hanya menggunakan sejenis alat yang dimasukkan ke dalam abdomen melalui lubang halus yang kecil.

Kaedah ini membetulkan keabnormalan otot-otot sfinkter dan krura diafram. Otot-otot yang longgar ini dijahit. Satu injap baru di simpang perut dan esofagus dibuat.

Melalui kaedah ini, asid tidak akan masuk semula ke dalam esofagus. Ia juga dapat mengetatkan bahagian bawah esofagus yang longgar.

Menurut Dr. Fahmi, kaedah yang masih baru diperkenalkan ini dapat mencegah berulangnya pembalikan asid ke dalam esofagus.

Kaedah yang dipelopori dari United Kingdom ini telah diperkenalkan sejak enam tahun lalu di beberapa buah negara di Eropah. Prosedur seumpama ini giat dijalankan di Britain, Belgium, Jerman, Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain.

``Selain tidak membabitkan luka yang besar, pesakit juga boleh pulang ke rumah dalam masa antara dua hingga tiga hari selepas menjalani prosedur ini,'' katanya.

Pedih hulu hati tidak memilih mangsa. Sama ada kanak-kanak, lelaki mahupun wanita muda atau yang berusia tidak terkecuali menghadapi masalah ini.

Apabila kita makan, makanan yang dikunyah akan masuk ke dalam perut melalui satu tiub yang dikenali sebagai esofagus.

Pada bahagian hujung esofagus, terdapat gelang otot-otot kecil iaitu sfinkter (Lower Esophageal Sphincter - LES).

LES bertindak sebagai injap sehala yang membolehkan makanan masuk ke dalam perut.

Biasanya, LES akan tertutup secara automatik sebaik selepas kita menelan. Ini bagi mengelakkan asid perut yang mengandungi asid yang banyak naik ke atas.

Bagaimanapun, sekiranya LES ini tidak dapat berfungsi dengan baik, asid ini akan masuk semula dan membakar bahagian bawah esofagus.

Keadaan ini boleh menimbulkan rasa pedih dan radang pada esofagus. Sekali gus, ia menyebabkan pedih hulu hati dan lama-kelamaan ia merosakkan esofagus.

Selain pedih hulu hati, pesakit biasanya mengadu sendawa berlebihan.

Kesakitan yang amat teruk ini boleh menyebabkan penghidapnya tidak boleh tidur.

Bagaimanapun, hanya segelintir sahaja penghidap pedih hulu hati mengalami gejalanya. Ada kalanya, menyerupai serangan jantung.

Keadaan seperti ini menyebabkan masalah yang dialami didiagnos dengan penyakit lain. Antaranya, serangan jantung, peptik ulser, asma, bronkitis, peptik ulser dan sebagainya.

Punca GERD

Banyak faktor yang dikaitkan dengan GERD. Ia dikatakan mempunyai kaitan dengan faktor fisiologi dan anatomi seperti:

* Angin pasang (Hernia)

* Sfinkter tidak berfungsi dengan baik (Defective LES

function)

* Asid dalam perut naik ke atas (delayed gastric

emptying)

* Masalah pengaliran air liur (abnormal oesophageal

motility)

* Kekurangan mukosa dalam esofagus (Defective

mucus).

Selain itu mereka yang menghadapi masalah obesiti atau wanita hamil.

Biasanya wanita hamil mengalami pedih hulu hati pada awal atau semasa tempoh kehamilan.

Ini kerana semasa hamil, terdapat tekanan pada organ-organ dalaman tubuh yang menolak bahagian tersebut.

Pada masa yang sama, peningkatan hormon estrogen meningkatkan risiko pedih hulu hati kerana ia mengurangkan tona otot-otot khas.

Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk mendiagnos GERD:

* Sejarah pesakit

* Pemeriksaan endoskopik

* Barium meal

* Kajian asid 24 jam pH.

Diagnosa GERD

Biasanya, dianggarkan 60 hingga 65 peratus pesakit GERD yang menjalani ujian endoskopik tidak menunjukkan sebarang bukti mereka mengalami radang. Keadaan ini dikenali sebagai Non Oesophagitis Reflux Disease (NERD).

Diagnosa pesakit biasanya meliputi tiga kategori iaitu:

* Tiada hakisan

* Radang pada saluran esofagus (esofagitis)

* Pesakit yang mempunyai komplikasi seperti ulser, fibrosa dan kanser esofagus sebanyak 5 hingga 15 peratus.

Sebahagian besar pesakit dikesan tidak mengalami esofagitis, tetapi ada angin pasang hiatus.

Bagaimanapun, jika pesakit tidak mengalami radang, ini tidak bermakna mereka bebas daripada masalah.

Individu yang layak menjalani prosedur ini

* Pesakit yang tidak boleh menerima ubat-ubatan

* Pesakit yang telah mengamalkan ubat-ubatan

dalam jangka masa lama

* Pesakit yang mengalami gejala yang berulang-

ulang

* Pesakit yang telah mempunyai komplikasi seperti

Barret's Esofagus dan lain-lain.

Komplikasi

Sekiranya pedih hulu hati ini dibiarkan tanpa rawatan, ia akan menyebabkan:

* Sukar makan

* Ulser esofagus

* Ketumbuhan pada bahagian bawah hujung

esofagus (Lower End Esofagus).

Esofagus yang terdedah dengan asid dalam jangka masa lama boleh mengakibatkan perubahan.

Perubahan yang dikenali sebagai Barret's Esofagus. Ini adalah satu keadaan di mana kulit dalam saluran makanan bertukar dari skuamos ke kolumnar. Keadaan ini jika dibiarkan berlanjutan boleh menyebabkan ia menjadi kanser pada peringkat awal.

Dengan rawatan pembedahan, refluk asid boleh dikawal supaya komplikasi GERD boleh dielakkan.

Panduan

Penghidap hulu hati pada peringkat awal perlu membuat perubahan gaya hidup seperti:

* Cara pemakanan yang teratur

* Bijak menangani tekanan

* Banyak melakukan senaman.


Sumber :: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm&arc=hive
Penulis :: Najibah Hassan (Arkib 29.12.2002)

Membebel-bebel :: Aku share sini sbb aku slalu kena pedih ulu ati nih... aku admit la mmg 3-4 hari ni aku kurang menjaga masa makan aku... makan bila sempat saje... da tu makan pedas2 plak tu ahahahaha... tekanan pun ya jugak... kena la aku ubah gaya hidup aku kalau camnih huhuhuhu

No comments: