Sunday, October 17, 2010

Menangani Tekanan Kerja

Akhir-akhir ini, graduan sering mengeluh sukar mendapat pekerjaan sesuai mengikut jiwa dan apa yang dipelajari ketika menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) kerana berasakan pasaran kerja dlm negara yang semakin terhad.

Atas alasan itu, ramai tidak kisah memilih pekerjaan di luar bidang pengajian dan taraf berikutan menganggap wang lebih penting bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi selain diperlukan untuk membayar pinjaman.

Apa pun jenis pekerjaan dilakukan, itu bukan perkara pokok kerana apa yang perlu ditekankan bagaimana seseorang yan gbaru mula bekerja ataupun sudah lama, menghadapi tekanan ketika di tempat kerja mereka.

Menurut risalah dikeluarkan Kementerian Kesihatan, tekanan bekerja boleh berlaku apabila individu kurang jelas dengan objektif dan struktur organisasi yang dinaunginya selain tidak berpuas hati dengan perkembangan kerjaya, status dan gaji ditawarkan.

Selain itu, tugas membosankan dipercayai mampu menjadi punca seseorang stress dan perkara itu tidak dapat dinafikan kerana memang naluri semula jadi manusia tidak menggemari sesuatu yang menimbulkan jemu.

Konflik interpersonal seperti membabitkan perhubungan antara lain menjadi penyumbang kepada tekanan di tempat kerja apabila individu hilang fokus untuk terus melaksanakan tanggungjawabnya dan melihat semua perkara membebankan.

Bagaimanapun, tekanan di tempat kerja mampu dielakkan jika kita bijak menanganinya termasuk tahu cara terbaik menghiburkan diri apabila berasa diri berada dalam keadaan tertekan.

Langkah pertama yang boleh dilakukan ialah meningkatkan sokongan sosial di tempat kerja iaitu menjalinkan persahabatan sesama rakan sekerja dan berkongsi masalah dengan mereka yang boleh dipercayai.

Selepas itu, ceba praktikkan pemikiran yang rasional dan positif kerana pemikiran negatif hanya menyebabkan timbul salah faham antara kita dan pihak lain seperti rakan dan mungkin juga majikan.

Untuk itu apabila keadaan itu berlaku, jangan sesekali biarkan salah faham menjejaskan perasaan dan tindakan serta gantikan pemikiran yang tidak rasional dan negatif tadi dengan keterangan lebih munasabah.

Selain itu, komunikasi juga memainkan peranan penting dalam menangani tekanan kerana komunikasi yang baik membolehkan kita meluahkan pendapat dengan jelas, tepat dan tegas selain menggunakan fakta, bukan mengikut perasaan.

Seterusnya, bagi mengelakkan tekanan, cuba tangani setiap kritikan dengan baik kerana melalui cara itu kita sebenarnya berusaha mengubah diri daripada cepat melenting kepada seorang lebih terbuka dan cool.

Cara tangani kemarahan pula dengan mengikuti tiga langkah penting iaitu berhenti seketika sambil mengakui anda sebenarnya sedang marah dan cuba bertenang.

Kemudian rancang fikiran anda mengikut kebijaksanaan dan bukan emosi seterusnya bertindak menggunakan daya tindak yang berkesan.

Dengan cara itu, akan lebih menjadikan seseorang tenang dalam menghadapi apa jua keadaan mendesak serta mampu mengamalkan cara hidup sihat termasuk bersenam, beriadah dan meditasi menggunakan muzik.

Sumber :: Harian Metro, Sabtu, 22 Mei 2010

No comments: